Bismillahirrahmanirrahim.
“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa .”
Ungkapan-ungkapan ini seringkali kita dengar bukan? Jika diteliti , kedua-dua ungkapan ini merujuk kepada sesuatu yang tidak bertulang , yaitu lidah . Cuba anda bercakap tanpa menggerakkan lidah. Sudah pasti anda akan berasa sukar untuk mengeluarkan walau sepatah perkataan sekalipun. Subhanallah! Betapa cantiknya ciptaan Allah, yang telah menciptakan lidah supaya kita dapat bercakap dan berkomunikasi antara satu sama lain. Namun, lidah manusia mampu memberi kesan positif juga sebaliknya kepada orang di sekeliling mereka, sepertimana ungkapan di atas.
Lidah Adalah Sendi Segala Kebaikan
Pembaca yang dihiasi sifat-sifat mahmudah sekalian ,
Suatu ketika , Saiyidina Muaz bin Jabal berpeluang berjalan bersama Rasulullah SAW, beliau pernah ditanya oleh baginda SAW :
“Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu kunci segala kebaikan itu ?” Muaz menjawab : “Tentu , ya Rasulullah .”
Maka baginda SAW memegang lidah baginda seraya bersabda: “Peliharalah benda ini!”Muaz berkata: “Ya Nabi Allah! Apakah kami akan diseksa akibat daripada ucapan lidah kami?”
Baginda SAW bersabda : “Ibumu akan kehilanganmu wahai Muaz! Tiadalah manusia itu dihumbankan mukanya (ditelungkupkan hidungnya) ke dalam api neraka kecuali kerana hasil tanam-tanaman lidah mereka.”
(Riwayat Imam Tarmidzi & Muslim)
Lidah adalah sendi segala kebaikan . Sendi berperanan sebagai penyokong, penguat dan pengukuh sesuatu binaan . Analoginya , amal soleh merupakan binaan , dan lidah sebagai sendinya . Andai lidah tidak dijaga dan dipelihara daripada kemaksiatan , maka segala amal kebaikan akan rosak dan sia-sia .
Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang sahabat , tentang seorang wanita Mukmin yang dikenali sebagai ahli Ibadah. Siang harinya diisi dengan puasa sunat dan malamnya dipenuhi dengan Qiyamullail . Namun , wanita ini sering menyakiti jiran dengan lidahnya . Lantas Nabi SAW bersabda :
“Tiada lagi kebaikan pada wanita itu melainkan dia adalah ahli neraka .”
(Riwayat Bukhari & Ahmad)
Hadith ini bukanlah ditujukan kepada para wanita sahaja, bahkan juga buat kaum lelaki yang beramal Ibadah, tetapi tidak membuahkan akhlak serta tutur kata yang baik . Alangkah ruginya kita , jika segala amal Ibadah kita menjadi sia-sia , hanya kerana lidah yang tidak dijaga .
Lidah Menjadi Ukuran Iman Seseorang
Lidah adalah pancaindera manusia yang terdedah kepada kemaksiatan. Memang bukan mudah untuk menahan lidah daripada berkata-kata yang tidak baik, mengumpat, berbohong dan sebagainya , terutama ketika emosi tidak stabil. Syaitan akan meniti di atas emosi yang tidak baik , seperti marah , cemburu , dengki dan seumpamanya untuk menghasut manusia agar mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Oleh sebab itu, kekuatan iman diperlukan untuk menahan lidah serta melawan hasutan tersebut. Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang menahan lisannya (daripada berkata-kata yang tidak baik), maka Allah akan menutup aibnya dan sesiapa yang menahan kemarahannya,maka Allah akan melindunginya daripada siksa-Nya …”
(Riwayat Ibnu Abiddunya)
Mutu keimanan seseorang itu boleh diukur melalui bagaimana ia mengendalikan lidahnya. Orang yang teguh imannya kepada Allah dan hari akhirat, akan sentiasa menggunakan lidah mereka untuk berzikir, ber-istighfar, berselawat, memberi nasihat serta mengeluarkan kata-kata yg baik. Sekiranya, tidak mampu berbuat demikian, tatkala emosi sedang berperang , maka berdiam diri shj adalah lebih baik. Hal ini merujuk kepada sabda Nabi SAW:
“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah berkata-kata yang baik atau berdiam sahaja (jika tidak dapat berkata yg baik).”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Para pembaca yang lunak lidahnya ,
Kukuhkanlah perisai imanmu agar tertahan lidah-mu daripada bahana kejahatan dan kemaksiatan . Pujuklah hatimu agar meyakini janji Allah untuk menutup keaibanmu tatkala engkau berusaha menutup keaiban orang lain . Ingatlah , setiap patah kata yang dituturkan oleh lidahmu akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak . Berdiamlah di-saat engkau hampir mengeluarkan kata-kata yang buruk dan sia-sia . Jangan-lah hanya kerana lidah yg tidak terjaga , kita terheret ke neraka .
Nau’zubillahi min zalik .
KLIK ARTIKEL BERKAITAN --> 15 Kebaikan Kahwin Muda
EmoticonEmoticon