"YANG Mulia Dayangku Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah sudah terbiasa dengan didikan keagamaan dan sikap bersopan santun daripada kedua-dua ayahanda dan bonda dalam menjaga akhlak dan juga sikap hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain bahkan keupayaannya dalam menjaga adinda-adinda ketika keduanya sibuk dengan tugasan merupakan satu kelebihan yang dimilikinya.
"Sikap dan keupayaan Yang Mulia Dayangku Raabi'atul 'Adawiyyah tertanai begitu sebati dalam diri membawanya melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan yang paling menonjol ialah keagamaan. Berkat didikan keagamaan yang begitu kuat daripada sekolah agama lagi serta bimbingan daripada ayahanda dan bonda yang begitu memperhatikan pendiddikan agama, lebih-lebih lagi bondanya Pengiran Hajah Noor'aismah binti Pengiran Haji Ismail, seorang guru agama mengajar pelajaran Al-Qur'an telah memberi inspirasi kepadanya mengikuti beberapa Peraduan Membaca Al-Qur'an antaranya mewakili sekolah agama dan menyertai pertandingan tersebut yang diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah pada tahun 2005 dan mengikuti Skim Tilawah Al-Qur'an Remaja pada tahun 2008 serta menyertai Pertandingan Dikir Dabai'ie Di Antara Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Senegara pada tahun 2008, di samping pernah mengikuti program Membaca Mandiri Minda di Sekolah Menengah Menglait pada tahun 2005. Dengan kejayaan ini turut membawanya berjaya mendapat gelaran Pembaca Al-Qur'an Terbaik Muslimah (Best Muslimah Al-Qur'an Recital) keseluruhan dari kesemua aspek pada tahun 2013 apabila berjaya mewakili negara dalam Pertandingan Wanita Muslimah di Republik Indonesia yang bersangkut-paut dengan aktiviti keagamaan.
"Tidak hairanlah jika Yang Mulia Dayangku Raabi'atul 'Adawiyyah begitu aktif dalam aktiviti kebajikan yang melibatkan kaum Muslimah dan membolehkannya memberikan pertolongan sewaktu mengikuti Pertandingan Wanita Muslimah yang menghendaki mengikuti beberapa aktiviti yang bermanfaat. Kejayaannya dalam usia yang begitu muda memegang gelaran Pembaca Al-Qur'an Terbaik Muslimah keseluruhan setelah berjaya mengalahkan peserta-peserta dari negara-negara Islam yang lain seharusnya dijadikan contoh dan ikon bagi remaja dan wanita Brunei kitani dalam memperjuangkan hak asasi wanita di negara ini bahkan penyertaan tersebut bukan hanya sekadar suka-suka tetapi telah membuktikan keupayaan Muslimah negara ini menjalankan apa jua aktiviti-aktiviti kebajikan dan keagamaan setaraf dengen negara-negara Islam di dunia. Perjuangannya dalam menyertai pertandingan tersebut bukan terhenti di situ sahaja setelah berjaya merangkul gelaran tersebut bahkan semangat yang dimiliki Yang Mulia terus diperjuangkan setelah kembali ke negara ini dengan berhasrat menyumbangkan aktiviti amal kebajikan terutama sekali kepada hal ehwal kesejahteraan kaum wanita, ibu-ibu dan remaja.
"Dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya, Yang Mulia terkenal sebagai seorang pelajar yang berhemah tinggi, bersopan santun dan sangat menghargai kedua-dua orang tua dan guru, di samping seorang peramah, suka beramah mesra dengan semua peringkat. Bagi ayahanda dan bonda, Yang Mulia memang kakanda contoh yang sangat menyayangi adinda adindanya. Dari sejak awal lagi, Yang Mulia sudah dilatih dengan sifat keibuan oleh ayahanda dan bonda bilamana Yang Mulia sering kali dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memeduli keperluan adinda-adinda yang lain sepanjang ketiadaan kedua-dua ayahandadan bonda keluar menjalankan tugas.
"Semasa lapang, Yang Mulia gemar bermain badminton dan skuasy serta mendengar muzik. Dengan sifat ketekunan itu, Yang Mulia adalah sumber inspirasi dengan kejayaaan wanita di negara ini." luah Prince Abdul Malik.
EmoticonEmoticon