KLANG – Polis menafikan penyebaran gambar dua orang lelaki tanpa kepala di laman sosial adalah ahli kongsi gelap yang terbabit dalam pergaduhan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata siasatan mendapati tiada kejadian sedemikian berlaku, malah dakwaan bahawa ia ada kaitan dengan perbalahan beberapa kumpulan kongsi gelap hingga membawa kepada pembunuhan beberapa minggu lalu, adalah tidak benar.
“Setakat ini keadaan di daerah Klang masih terkawal dan anggota polis ditempatkan dalam keadaan bersiap sedia jika berlaku sebarang kekecohan.
“Gambar yang disebarkan itu tidak benar dan ia hanya akan mengundang rasa bimbang masyarakat setempat. Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dan tidak terus menyebarkan gambar palsu ini,” katanya ketika dihubungi BH di sini.
Gambar yang tersebar menunjukkan dua kepala lelaki dipenggal, didakwa mempunyai kaitan dengan pergaduhan membabitkan beberapa kumpulan kongsi gelap.
Baru-baru ini, polis tidak menolak kemungkinan perebutan kawasan untuk mengedar dadah di sekitar Klang dan Sabak Bernam, dipercayai punca perbalahan beberapa kumpulan kongsi gelap hingga membawa kepada pembunuhan.
Pergaduhan tiga kumpulan kongsi gelap itu mencapai kemuncak pada 10 Februari lalu dan menarik perhatian ramai apabila seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun maut ditetak di Banting.
Rentetan kejadian itu, pada 15 Februari, seorang lelaki dipercayai ahli kongsi gelap mati ditembak di Telok Panglima Garang, Banting.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, berkata polis tidak menolak kemungkinan kes tembak itu mempunyai kaitan dengan unsur balas dendam terhadap kematian orang kanan sebuah kongsi gelap dalam pergaduhan di Banting, beberapa hari sebelum itu, lapor Berita Harian.
EmoticonEmoticon